Wednesday, 29 September 2021

TAK USAH PENING DAN KELIRU : FORMULA MUDAH UNTUK MEMBEZAKAN BENAR DAN PALSU

Di dalam video yang saya share semalam, kita mendengar pendapat Ustaz Wadi Annuar berkenaan vaksin daripada sudut hukum hakam agama. Sangat jelas sekali apa yang beliau sampaikan. Boleh ikuti video beliau di pautan ini: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10219450992493326&id=1468333443

Daripada sudut perubatan pula, kita sepatutnya menggunakan kaedah ataupun prinsip yang sama. Isu tentang vaksin dan wabak penyakit adalah di bawah kepakaran pakar2 perubatan tertentu. Tidak semua pakar dianggap berwibawa untuk mengeluarkan pendapat mereka tentang perkara ini. Apatah lagi orang awam dan tidak yang tidak memiliki ilmu perubatan.

Pakar2 yang layak ini pula mempunyai bidang2 pengkhususan yang tersendiri dan hanya berwibawa untuk bidang khusus tertentu. Contohnya dari aspek ilmu mengawal wabak penyakit, pakar epidemiologi dan pakar kesihatan awam, pakar tentang sifat2 virus dan mikrob, pakar virologi dan mikrobiologi, pakar merawat jangkitan penyakit pula adalah pakar jangkitan penyakit, merawat pesakit dalam kecemasan, pakar perubatan kecemasan. Penghasilan vaksin pula, pakar vaksinologi, pakar immunologi. 

Banyak lagi pakar2 khusus yang terlibat, hatta untuk menilai data2 kajian dan hasil perlaksanaan program, kita perlukan khidmat pakar statistik (statistician). 

Untuk mengawal wabak penyakit, bukan kerja seorang dua pakar tetapi penggembelingan pakar2 di dalam setiap bidang khusus yang saya sebutkan di atas. Inilah pakar2 yang ada di belakang autoriti kesihatan mana2 negara termasuk KKM. Jika autoriti kesihatan negara mempunyai pakar2 ini, apatah lagi autoriti kesihatan antarabangsa yang besar seperti WHO, CDC, FDA dan lain2. 

Semua autoriti kesihatan  serta institusi akademik  samada di negara kita mahupun di seluruh dunia berpendapat bahawa vaksin yang digunakan adalah bermanfaat dan selamat. Pertimbangan antara manfaat dan mudarat menunjukkan vaksin kekal bermanfaat sehingga ke hari ini. Hatta, setiap negara mempunyai program imunisasi masing2. 

Ya, memang ada pakar2 dan individu2 yang berbeza pendapat. Perbezaan dari sedut pendekatan boleh diperdebatkan  tapi kalau pendapat itu bertentangan (berbeza 180 darjah), ini bermasalah. Apa sepatutnya dilakukan?  Pertama, selidiki siapakah mereka dan apakah latar belakang mereka? Apakah mereka ini layak untuk memberi pandangan tentang bidang2 khusus yang diperkatakan? Adakah mereka mewakili majoriti pendapat atau hanya pendapat peribadi? Apakah rujukan mereka? 

Kemudian nilai diri anda sendiri. Bertanya pula kepada diri anda, adakah anda percaya kepada sesuatu pendapat kerana ianya sama dengan pendapat anda, tanpa mengambil kira kewibawaan sumber pendapat tersebut ?.Anda memilih hanya pendapat yang selari dengan kepercayaan anda tanpa terlebih dahulu mengesahkan maklumat tersebut. " Aku dah kata dulu lagi, mesti betul pendapat dia ni, sama saja dengan pendapat aku", jom like, share.... 

Jadi berpandukan kepada maklumat2 yang saya nyatakan di atas, apakah pilihan kita sebagai orang awam, hatta sebagai seorang doktor atau pakar biasa seperti saya ? Jawapannya jelas, jangan pening2 dan stres, percaya kepada pihak yang benar2 layak dan berwibawa. 

Tidak ada sesiapa atau apa2 institusi yang sempurna, kesilapan masih boleh berlaku, tetapi pihak yang berwibawa lebih banyak benar dan kurang melakukan kesilapan berbanding dengan pihak yang tidak berwibawa. Pihak yang satu lagi ini mungkin hanya "TIN KOSONG" !!.


Dato' Dr.Rushdan Noor

29hb Sep 2021

Saturday, 25 September 2021

MENGAPA VAKSINASI COVID-19 KE ATAS KANAK2 DAN REMAJA 12-17 TAHUN MUNASABAH




MENGAPA VAKSINASI COVID-19 KE ATAS REMAJA 12-17 TAHUN MUNASABAH

Kerajaan telah memulakan program vaksinasi remaja 12 - 17 tahun pada 25hb Sep 2021. Jenis vaksin yang akan diberikan adalah vaksin mRNA Comirnaty (Pfizer-Biontech)  dengan dos yang sama. Keputusan untuk memberi suntikan vaksin ke atas golongan remaja dilaksanakan berdasarkan kepada maklumat2 yang dinyatakan di bawah.

A. KESAN LANGSUNG PENYAKIT COVID KEPADA KANAK2

1. Dalam tahun 2020 terdapat 12,620 kes Covid dalam kalangan remaja berusia kurang dari 18 tahun tapi pada tahun 2021, setakat bulan Ogos 2021 saja, jumlah kes mencecah 310,074 dengan 47 kematian. Terutama pada bulan Julai seterusnya akibat dari varian delta. 

2. Kanak2 juga boleh menjadi pembawa virus dan menjangkiti orang lain.

3. Kanak2 juga boleh mengalami komplikasi seperti orang dewasa termasuk Long Covid. Di Amerika 3 orang kanak2 meninggal akibat Covid-19 setiap hari.

4. Komplikasi Covid-19 yang khusus yang hanya dialami oleh kanak2 iaitu Multisystem Inflammatory Syndrome (MIS-C)

B. KESAN TIDAK LANGSUNG COVID-19 KE ATAS KANAK2

1. Menjejaskan institusi kekeluargaan 
2. Menjejaskan persekolahan dan pendidikan
3. Menjejaskan kehidupan sosial
4. Isu perkembangan otak dan tumbesaran

MANFAAT VAKSINASI REMAJA 12-17 TAHUN

1. Mencegah atau mengurangkan risiko kesan2 langsung dan tidak langsung di atas (A & B).

2. Membantu meningkatkan liputan vaksinasi sebanyak mungkin untuk mengawal kesan wabak yang lebih serius ke atas masyarakat. Remaja kurang dari 18 tahun merangkumi 28% populasi rakyat Malaysia. Ini akan memudahkan dan mempercepatkan rakyat Malaysia kembali meneruskan kehidupan seperti biasa dengan amalan norma2 baharu sesuai dengan prinsip hidup bersama Covid.

Walaupun ada kesan sampingan vaksin ke atas kanak2, namun berdasarkan kepada maklumat2 di atas, manfaat pemberian vaksin kepada mereka jauh lebih besar dari mudarat. Keseluruhannya vaksin ini mempunyai profile keselamatan yang sangat baik. Risiko radang otot jantung (myocarditis) ke atas kanak2 selepas vaksinasi adalah 1 dalam 20,000** dan majoriti adalah ringan dan sembuh sepenuhnya dalam beberapa hari. Belum ada lagi lapuran kematian akibat myocarditis yang disebabkan oleh vaksin di luar negara. Tetapi risiko radang jantung ke aras kanak2 yang mengidap Covid-19 adalah 1 dalam 3,000 (lebih dari 6X ganda). Ini baru satu komplikasi, belum lagi lain2 komplikasi termasuk kematian dan Long Covid.

Sumber : Sesi libat urus media secara atas talian, taklimat keberkesanan vaksin dan program vaksinasi remaja 12-17 tahun.

** Risiko radang jantung ke atas kanak2 yang menerima 2 dos vaksin yang dilapurkan oleh CDC (June 2021)  jauh lebih rendah iaitu ( lelaki 67 kes per 1 juta orang perempuan 9 kes per 1 juta orang)

Dato' Dr.Rushdan Noor
25hn Sep 2021

https://m.youtube.com/watch?v=IH1Q5t-2sLY

https://www.google.com/amp/s/www.wsj.com/amp/articles/kids-the-delta-variant-what-to-know-11627291801

https://www.wsws.org/en/articles/2021/09/22/chil-s22.html

Friday, 24 September 2021

VAKSIN COVID-19 TERBUKTI BERKESAN DI MALAYSIA

 


BERIKUT ADALAH LAPORAN KEBERKESANAN VAKSIN COVID-19 DI MALAYSIA YANG DIBENTANGKAN OLEH INSTITUT PENYELIDIKAN KLINIKAL

























Video penerangan tentang analisa keberkesanan vaksin Covid-19.



AGENDA ANTIVAKSIN COVID-19 : SEMAKIN TERSERLAH KEBENARAN



Semenjak bermulanya pandemik Covid-19, golongan antivaksin sudah mula giat bekerja menyebarkan maklumat palsu kepada masyarakat tentang Covid-19 dan vaksin. Ada ketikanya maklumat yang mereka sampaikan itu menenggelamkan maklumat dari autoriti kesihatan sehingga masyarakat jadi keliru dan sukar untuk membezakan antara berita benar dan palsu. 

Kalau autoriti kesihatan menyampaikan maklumat yang sahih untuk mendidik masyarakat, maklumat yang antivaxxer sebarkan pula untuk tujuan yang berbeza. Pokok pangkalnya mereka mahu orang ramai mempunyai kepercayaan dan kefahaman yang sama seperti mereka.

Supaya kita tidak lupa dengan kerja tangan dan tindak tanduk mereka, saya senaraikan maklumat2 PALSU mengenai Covid-19 dan Vaksin  yang tersebar kepada masyarakat. Ada di antara maklumat2 ini masih tersebar di medsos.

Sekurang2nya 20 maklumat palsu ataupun "misinformation" yang disebarkan mengenai Covid-19 dan vaksin: 

1. WHO sengaja suka2 istihar pandemik

2. Covid-19 ini macam selesema ringan saja

3. Covid-19 ini satu scam

4. Ujian PCR Covid-19 penipu, 80% "false positive".

5. Vaksin agenda Yahudi, Illuminati, Freemason, satu konspirasi utk menguasai dunia dan mengurangkan populasi

6. Vaksin dan pihak2 yg menggunakannya adalah agen Dajjal

7. Vaksin ini mengandungi microchip dan ada keupayaan transmisi 5G

8. Vaksin mRNA boleh menukar DNA manusia

9. Vaksin menyebabkan kerosakan organ sebab keracunan spike protein

10. Vaksin dalam tubuh penerima vaksin boleh terlepas keluar dan beri kesan kpd orang lain termasuk merosakkan organ. 

11. Vaksin Covid menyebabkan 97% orang tidak subur

12. Vaksin Covid mengandungi tisu janin

13. Vaksin Covid mengandungi graphene oxide

14. Tempat suntikan vaksin menjadi magnet

15. Vaksin Covid boleh menukar penerima menjadi pesakit Covid

16. Penerima vaksin lebih ramai yang mati dari jangkitan Covid

17. Vaksin penyebab variant baru virus

18. Penerima vaksin Covid adalah seperti tikus ujikaji

19. Penerima vaksin jika dijangkiti akan mendapat penyakit yang lebih berat akibat "pathogenic priming"

20. Ujian PCR Covid akan menjadi positif selepas disuntik vaksin.

21. Vaksin tidak berkesan

Kesemua2 maklumat2 palsu di atas sudah dinafikan oleh pakar2 dan banyak di antaranya orang awam sendiri boleh melihat kerana sudah terjawab dengan sendirinya pada hari ini.

Saya percaya ada banyak lagi senarai maklumat2 palsu yang disebarkan dan ada yang masih berlegar di medsos. Mereka tidak akan berhenti setakat ini, pasti akan ada lagi usaha mereka untuk mengekalkan pengaruh dan mengikat pengikut2 yg setia.

Apabila mereka tidak ada hujah ilmiah untuk mempertahankan dakwaan, mereka akan menggunakan strategi merendah2kan peribadi pakar2, menjatuhkan reputasi kementerian kesihatan, majlis fatwa dan institusi2 kesihatan antarabangsa seperti WHO, CDC, FDA dan lain2. Semua badan2 berautoriti ini dikatakan saling bersubahat, mengeluarkan data2 yang salah dan mempunyai agenda2 yang tersembunyi ataupun berkepentingan. Pendek kata semua pakar, autoriti2 kesihatan, majlis fatwa dan badan2 kesihatan berwibawa yang tidak sependapat tidak benar belaka melainkan mereka sajalah pihak yang benar. 

Setakat ini sebanyak 6 billion dos vaksin diberikan kepada 3.4 billion orang. Maksudnya hampir separuh penduduk dunia telah menerima vaksin, jika benarlah tuduhan2 antivaksin ini, bayangkan betapa huru haranya dunia ketika ini dan tentu sudah ada negara2 yang mengharamkan vaksin.

Institut Kesihatan Negara baru sahaja mengeluarkan hasil analisa data keberkesanan vaksin negara kita yang melibatkan bilangan sampel sejumlah 1.26 juta orang. Analisa ini dijalankan dari 1hb April hingga 12hb Sep 2021 dan berikut adalah sebahagian dari kesimpulannya:

1. Keberkesanan vaksin (dos lengkap)secara keseluruhan dalam mencegah jangkitan adalah 88% (86-90%)

2. Keberkesanan vaksin secara keseluruhan dalam mencegah jangkitan bergejala adalah 86% (84-88%)

3. Vaksin mengurangkan risiko kemasukan ke ICU pesakit Covid sebanyak 83% (82-84%)

4. Vaksin mengurangkan risiko kematian pesakit Covid sebanyak 88% (87-88%)

Boleh ikuti lapuran lanjut tentang hasil analisa keberkesanan vaksin di pautan ini.

Saya hanya mampu berdoa agar Tuhan membuka pintu hati mereka dan memberi hidayah kepada mereka supaya bertemu dengan kebenaran. Jika tidak, sekurang2nya mereka tidak menghasut orang lain kerana jika ada yang menderita atau mati akibat kepercayaan yang mereka bawa, mereka tidak terlepas dari bertanggungjawab.

Salah satu hikmah besar berlakunya pandemik ini adalah terdedahnya pekung golongan yang terpesung kefahaman mereka tentang ilmu perubatan dan wujudnya golongan2 yang mengambil kesempatan ke atas kesengsaraan orang lain demi untuk kepentingan diri sendiri. Maka kini orang ramai sudah mula boleh membezakan antara kebenaran dan kepalsuan.


Dato' Dr. Rushdan Noor

24hb Sep 2021


https://www.muhealth.org/our-stories/covid-19-vaccine-myths-vs-facts

https://www.bu.edu/articles/2021/myths-vs-facts-covid-19-vaccine/

https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/vaccines/facts.html

https://www.mayoclinichealthsystem.org/hometown-health/featured-topic/covid-19-vaccine-myths-debunked

https://www.mskcc.org/coronavirus/myths-about-covid-19-vaccines



Tuesday, 21 September 2021

MITOS KERACUNAN "SPIKE PROTEIN"

 

Mitos tentang keracunan spike protein ini timbul pada pertengahan tahun ini susulan daripada posting yang disiarkan oleh seorang  admin akaun facebook luar negara . Admin facebook ini adalah pendokong naturopathy dan seringkali menyebarkan maklumat yang negatif tentang sistem rawatan perubatan moden termasuk vaksin.

Di antara maklumat2 palsu yang pernah dicetuskan oleh admin facebook ini adalah tentang Covid-19 seperti vitamin D boleh mencegah dan merawat Covid-19, penggunaan mikrocip di dalam vaksin, wabak Covid-19 adalah scam dan juga 80% ujian PCR adalah "false positive". Saya percaya beliau ini juga menjadi rujukan kepada golongan2 antivaksin di negara kita.

Peluang untuk menyebarkan maklumat palsu seterusnya wujud selepas tersiarnya hasil kajian yang dikendalikan oleh penyelidik di Department of Pathology, Brigham and Women’s Hospital, Amerika Syarikat. Ianya disiarkan atas talian pada 20hb Mei 2021. Kajian ini sebenarnya kajian pilot/perintis yang sangat kecil yakni melibatkan hanya 13 orang peserta yang merupakan penerima vaksin mRNA.

Kajian kecil tersebut hanya bertujuan untuk menguji alat pengukur kandungan protein yang sedikit di dalam darah dan juga tindakbalas antibodi. Di dalam kajian ini, mereka mengukur kandungan spike protein di dalam darah selepas peserta menerima vaksin mRNA. Kajian ini mengesan sedikit kandungan spike protein di dalam 11 daripada 13 orang peserta tersebut. Ujian ke atas kandungan antibodi juga dilakukan. 

Dalam kajian ini, penyelidik tidak langsung melihat apakah kesan yang dilakukan oleh spike protein ke atas organ manusia. Spike protein yang dikesan pada peringkat awal itu pula didapati hilang dalam masa beberapa hari hasil tindakbalas sistem imun badan. Kajian mereka ini juga membuktikan bahawa vaksin mRNA sememangnya berkesan meransang sistem imun seperti yang diramalkan.

Hasil kajian tentang spike protein ini digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk dijadikan  isu dengan mengaitkan protein ini dengan semua gejala dan kesan sampingan yang dialami oleh penerima vaksin. Sedangkan banyak gejala2 dan masalah kesihatan yang dilapurkan berlaku secara kebetulan. Sehingga mereka mengaitkan masalah haid yang dialami oleh wanita adalah juga kerana kesan toksik spike protein terhadap ovari, lebih jauh lagi mereka mendakwa boleh menyebabkan masalah kesuburan. 

Pendek kata, apa sahaja AEFI yang dilapurkan akan dikaitkan dengan spike protein, sehingga mendakwa spike protein ini boleh terlepas keluar dari badan (shedding) dan memberi kesan kesihatan kepada orang lain. Semua tuduhan2 ini hanyalah andaian ataupun boleh saya katakan khayalan mereka semata2. Hakikatnya vaksin mRNA adalah vaksin yang paling banyak diberikan dan setakat ini pihak autoriti kesihatan negara dan antarabangsa sangat berpuashati dengan profil keselamatannya. 

Walaupun terdapat seorang pakar imunologi (Byram Bindle) yang bimbang, namun pakar2 imunologi yang lain serta pakar2 jangkitan penyakit menyangkal pendapat beliau.  Rata2, pakar2 perubatan mengganggap Byram Bindle mengelirukan orang ramai dengan dakwaan yang tidak berasas. Kuantiti spike protein yang ditemui sangat kecil dan tidak memberi kesan kepada organ badan. Ini disokong oleh Dr.William Matchett, penyelidik vaksin dari University of Minnesota. 

Jika benar spike protein ini wujud dalam darah sekalipun, tindakannya adalah berbeza dengan jangkitan virus kerana ianya dihasilkan dalam tubuh manusia dan  bukan dalam dari virus atau bentuk lengkap dengan virus yang mengandungi banyak lagi komponen. Malahan kewujudan spike protein di dalam darah memang tidak mengejutkan kerana 1-2% vaksin boleh terlepas dari kawasan suntikan tetapi akan terhapus dengan cepat. Kehadiran spike protein adalah juga bukti secara langsung bahawa vaksin yang diberikan ini berjaya  menghasilkan spike protein.

Kepada orang ramai, jangan mudah terpedaya dengan dakwaan2 antivaksin tentang Covid-19 dan vaksin kerana mereka hanya menceduk daripada sumber-sumber maklumat yang tidak berwibawa termasuk dari laman medsos dan portal pendokong rawatan alternatif dan naturopathy. Kembalilah kepada sumber maklumat yang betul dari pakar yang berwibawa dan bantu sebarkan kebenaran kepada saudara mara dan rakan-rakan.

Dato' Dr.Rushdan Noor

21hb September 2021


https://www.aap.com.au/toxic-spike-protein-claims-misinterpret-vaccine-study/

https://academic.oup.com/cid/advance-article/doi/10.1093/cid/ciab465/6279075

https://www.google.com/amp/s/mobile.reuters.com/article/amp/idUSL2N2NX1J6

https://apnews.com/article/fact-checking-377989296609

Tuesday, 14 September 2021

PENERIMA VAKSIN LENGKAP LEBIH RENDAH RISIKO MENGHIDAP LONG COVID JIKA MENDAPAT JANGKITAN.

 


Seperti semua orang tahu penerima vaksin tidak 100% dilindungi dari dijangkiti Covid-19 dan mengalami komplikasi penyakit ini termasuk kematian. Walau bagaimana pun berbanding dengan orang yang tidak mengambil vaksin, penerima vaksin mendapat banyak manfaat di antaranya (varian Delta)(1):

1. Lebih rendah kemungkinan untuk dijangkiti sebanyak 5X ganda

2. Lebih rendah kadar kemasukan ke wad sebanyak 10 X ganda

3. Lebih rendah risiko kematian akibat Covid-19 sebanyak 11 kali ganda.

Satu lagi manfaat kepada penerima vaksin adalah jika mereka mendapat Covid-19, lebih besar peratusan mereka mengalami hanya gejala ringan ataupun tidak bergejala (asymptomatic). Jenis2 gejala yang mereka alami  juga tidak sebanyak orang yang tidak menerima vaksin.(2)

Salah satu komplikasi Covid-19 yang sangat ditakuti adalah Long Covid yakni komplikasi jangka panjang yang menyebabkan bekas pesakit menderita dengan pelbagai gejala seperti kelesuan, kelembapan otak, sesak nafas, mudah penat, gugur rambut, masalah kebas dan lain2. Ada pesakit Long Covid yang meninggal dunia. 

Kajian yang disiarkan oleh Journal Lancet yang menganalisa lebih 1.2 juta data dari pesakit2 Covid-19 mendapati bahawa penerima vaksin yang lengkap mempunyai risiko Long Covid 50% LEBIH RENDAH dari golongan yang tidak menerima vaksin (2).

Nampaknya, semakin lama, semakin banyak manfaat yang diperolehi dari pengambilan vaksin Covid-19. Walau bagaimana pun ini bukan lesen untuk leka dan lalai kerana penerima vaksin masih boleh dijangkiti, dimasukkan ke dalam wad, ICU dan ada yang meninggal dunia. Di samping itu penerima vaksin juga boleh menjangkiti org lain walaupun pada kadar yang lebih rendah dari bukan penerima vaksin. Terus amalkan langkah pencegahan yang lain dan patuh SOP. Virus ini akan hidup bersama kita.

Untuk membaca tentang apakah Long Covid dan gejala2nya, anda boleh pergi ke pautan di bawah:

LONG COVID


Dato' Dr.Rushdan Noor

15hb Sep 2021



Rujukan


1.https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10219389069665294&id=1468333443

2.https://www.thelancet.com/journals/laninf/article/PIIS1473-3099(21)00460-6/fulltext

3.https://www.npr.org/sections/health-shots/2021/09/13/1032844687/what-we-know-about-breakthrough-infections-and-long-covid

4.https://www.google.com/amp/s/www.forbes.com/sites/roberthart/2021/09/02/vaccines-slash-risk-of-long-covid-from-breakthrough-infections-study-finds/amp/

5.https://www.healthline.com/health-news/people-who-were-vaccinated-and-got-covid-19-were-half-as-likely-to-have-long-term-symptoms

Monday, 13 September 2021

CDC : ORANG YANG TIDAK DIVAKSIN 5 KALI LEBIH TINGGI UTK DIJANGKITI VARIAN DELTA DAN 11 KALI LEBIH TINGGI KADAR KEMATIAN.

Penyelidik melihat data dari lebih 600,000 kes Covid-19 semasa 2 tempoh iaitu tempoh sebelum varian Delta (April-Jun) dan tempoh selepas varian Delta (Jun-Julai). Penyelidik kemudian mengukur "age-standardized ratio" untuk bilangan kes, kemasukan hospital dan kematian yg melibatkan golongan yang menerima vaksin dan yang tidak menerima vaksin dalam masa kedua2 tempoh tersebut.

Penyelidik mengkaji keberkesanan vaksin di dalam mengurangkan risiko mendapat jangkitan,  kemasukan wad dan kadar kematian semasa kedua2 tempoh pre-delta (sebelum serangan varian delta) dan post-delta (serangan varian delta) berbanding dengan golongan yang tidak mengambil vaksin. Berikut adalah hasil kajian:


TEMPOH SEBELUM VARIAN DELTA (Pre-Delta)

1. Penerima vaksin yang lengkap mempunyai 11 kali lebih rendah untuk mendapat jangkitan berbanding dengan golongan yang tidak menerima vaksin. (Keberkesanan 91%)

2. Penerima vaksin mempunyai kadar kemasukan ke dalam wad sebanyak 13 kali lebih rendah.(keberkesanan 92%)

3. Penerima vaksin mempunyai kadar kematian 16.6 kali lebih rendah dari yang tidak menerima vaksin. (Keberkesanan 94%)


TEMPOH SELEPAS VARIAN DELTA (Post- Delta)

1. Penerima vaksin yang lengkap mempunyai 4.6 kali lebih rendah untuk mendapat jangkitan (keberkesanan 78%)

2. Penerima vaksin mempunyai kadar kemasukan ke dalam wad sebanyak 10 kali lebih rendah. (Keberkesanan 90%)

3. Penerima vaksin mempunyai kadar kematian 11.3 kali lebih rendah dari yang tidak menerima vaksin. (Keberkesanan 91%)

KESIMPULAN

Vaksin Covid-19 berkesan mencegah jangkitan, menurunkan kadar kemasukan ke wad dan menurunkan kadar kematian walaupun ke atas varian Delta. Tidak mengambil vaksin 5 kali lebih tinggi kemungkinan untuk dijangkiti, 10 kali lebih berisiko untuk masuk ke dalam wad dan 11 kali lebih tinggi risiko untuk mati akibat Covid-19 akibat varian delta berbanding dgn penerima vaksin.


Dato' Dr.Rushdan Noor

14hb Sep 2021


Rujukan :


https://arstechnica.com/science/2021/09/unvaccinated-are-5x-more-likely-to-catch-delta-11x-more-likely-to-die/

 https://www.cdc.gov/mmwr/volumes/70/wr/mm7037e1.htm?s_cid=mm7037e1_w

Tuesday, 7 September 2021

PENERIMA VAKSIN YANG DIJANGKITI COVID-19 LEBIH SUKAR MENJANGKITI ORANG LAIN BERBANDING DENGAN PESAKIT YANG TIDAK MENERIMA VAKSIN




BENARKAH PENERIMA VAKSIN YANG DIJANGKITI COVID-19 BOLEH MENJANGKITI SAMA SEPERTI PESAKIT YANG TIDAK MENERIMA VAKSIN ?

Satu lagi berita yang menjadi perbualan hangat di medsos adalah mengenai satu lapuran hasil kajian oleh penyelidik dari Universiti Wisconsin Madison) yang menunjukkan penerima vaksin yang dijangkiti mempunyai beban virus yang sama dengan pesakit yang tidak menerima vaksin. Berita ini telah dimanipulasikan sepenuhnya oleh golongan antivaksin.

Saya ingin membuat beberapa komen tentang kajian yang dijalankan dan kesimpulan yang boleh dibuat:

1. Kajian ini masih dalam peringkat pre-print dan belum lagi dilakukan peer-reviewed.

2. Kajian yang dilakukan itu bukanlah kajian klinikal yang berkualiti. Bukan kajian RCT. Ia adalah kajian makmal terhadap sampel yang diambil daripada peserta kajian yang merupakan pesakit Covid-19 yang baru dikesan (89% dijangkiti varian Delta).

3. Pesakit2 Covid-19 ini kemudiannya dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu sudah lengkap vaksinasi dan belum divaksinasi.

4. Ujian RT-PCR dilakukan ke atas swab dan ditentukan CT value masing-masing. Walaupun terdapat persamaan daripada segi CT value namun kita tahu bahawa ujian PCR ini adalah untuk mengesan RNA daripada virus dan bukan virus yang hidup. Sukar untuk menentukan kadar kebolehjangkitan seseorang berdasarkan kepada CT value walaupun ianya berguna untuk menguji kehadiran virus. 

5. Untuk menjawab persoalan (4) di atas, penyelidik memilih sampel dari pesakit yang mempunyai CT value yang rendah dan melakukan ujian kultur untuk mengesan kesan sitopatik yang merupakan petanda virus itu boleh menjangkiti. Walau bagaimanapun hanya melibatkan 37 orang yang menerima vaksin dan 15 orang yang tidak menerima vaksin (jumlah 52 orang sahaja). Sampel ini sangat sedikit dan hasil kajian sitopatik itu pula boleh dipertikaikan kerana kajian luar tubuh (in-vitro) 

6. Berdasarkan kepada kajian makmal di atas, kita tidak boleh menentukan tahap kebolehjangkitan ("level of infectivity"). Kebolehjangkitan hanya dapat diketahui jika kajian dilakukan ke atas manusia dengan melihat perbezaan kadar jangkitan antara 2 kumpulan (kajian seperti ini tidak akan diluluskan). Kajian ini hanya memberi gambaran bahawa penerima vaksin yang dijangkiti berpotensi untuk menjangkiti orang lain kerana wujudnya virus di dalam sistem pernafasan mereka. 

7. Pakar Vaksin, Profesor Robert Booy dari University of Sydney memberi amaran supaya berhati2 menilai kajian ini. Di samping kelemahan yang tersebut di atas, menurut beliau, walaupun beban virus yang sama ditemui ke atas penerima vaksin yang dijangkiti, namun banyak faktor lain yang mempengaruhi. Kajian di atas pula dilakukan ke atas pesakit yang berada pada peringkat awal di mana pada ketika itu memang beban virus masih tinggi, tidak kira status vaksinasi. Tetapi kajian itu tidak melihat berapa cepat virus2 itu dihapuskan. Sebaliknya banyak kajian lain telah menunjukkam bahawa penerima vaksin dapat menghapuskan virus pada kadar yang lebih cepat berbanding dengan orang yang tidak menerima vaksin. Jadi PENERIMA VAKSIN YANG DIJANGKITI MENYIMPAN VIRUS DALAM MASA YANG SINGKAT dan ini mengurangkan kemungkinan mereka menjangkiti orang lain.

8. Kajian lain yang dilakukan oleh Imperial College London mendapati orang yang menerima suntikan vaksin yang lengkap mempunyai risiko dijangkiti Covid-19 yang lebih rendah yakni 50-60% kurang daripada orang yang tidak menerima vaksin. Kajian di Singapura memberi angka yang lebih besar iaitu 79%. Perlindungan ini lebih besar jika penerima vaksin itu tidak mempunyai gejala. Penerima vaksin juga lebih rendah kemungkinan untuk mendapat ujian swab PCR positif selepas berlakunya kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

9. CDC sendiri di dalam kenyataannya menegaskan tentang kelemahan kajian ini dan menyarankan supaya kajian yang lebih berkualiti dan lebih besar dijalankan. Tujuan CDC mewar2kan hasil kajian ini hanyalah untuk mengingatkan orang ramai untuk terus mengamalkan kaedah pencegahan yang lain walaupun sudah menerima vaksin.



KESIMPULAN

Adalah TIDAK BENAR mengatakan bahawa orang yang menerima vaksin dan dijangkiti Covid-19 dapat menjangkiti orang lain pada kadar yang sama dengan orang yang tidak menerima vaksin. Hasil kajian yang masih pre-print tersebut hanya menunjukkan kehadiran virus di dalam hidung penerima vaksin pada peringkat awal jangkitan berdasarkan kepada ujian makmal dan ujian kultur yang sedikit bilangan sampelnya. Pakar vaksin berpendapat bahawa penerima vaksin yang dijangkiti meskipun mempunyai beban virus yang sama pada peringkat awal, mereka dapat menghapuskan virus itu pada kadar yang lebih cepat dan tidak menyimpannya dalam masa yang panjang berbanding dengan orang yang tidak menerima vaksin. Tambahan pula, penerima vaksin mempunyai risiko dijangkiti Covid-19 pada kadar yang lebih rendah daripada orang yang tidak menerima vaksin. Berdasarkan kepada fakta ini, terdapat bukti yang lebih kukuh untuk mengatakan bahawa individu yang TIDAK mengambil vaksin LEBIH MUDAH menjangkiti orang lain berbanding dengan individu yang menerima vaksin.


Dato' Dr.Rushdan Noor

10hb Julai 2021


ICL : Imperial college London

https://www.medrxiv.org/content/10.1101/2021.07.31.21261387v4


https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/variants/delta-variant.html


https://www.cbsnews.com/news/covid-vaccine-delta-variant-infections-carry-same-virus-load-unvaccinated/


https://www.nature.com/articles/d41586-021-02187-1


Linked explained

https://www1.racgp.org.au/newsgp/clinical/cdc-covid-report-no-cause-for-panic


https://spiral.imperial.ac.uk/bitstream/10044/1/90800/2/react1_r13_final_preprint_final.pdf


https://www.straitstimes.com/singapore/study-of-29000-people-on-quarantine-in-spore-shows-vaccines-can-prevent-infection-and


Singapore study

https://www.medrxiv.org/content/10.1101/2021.07.28.21261295v1

Thursday, 26 August 2021

VAKSIN COVID-19 : PERLUKAH DOS TAMBAHAN ?

 

Setakat ini vaksin yang kita ambil di Malaysia masih berkesan sekurang2nya mengurangkan risiko gejala berat dan kematian. Ini tidak dapat disangkal, malahan kajian di luar negara pun melapurkan perkara yang sama. 




Lapuran lengkap di sini

Anda juga boleh melihat keberkesanan vaksin di negara kita dengan melayari laman web berikut : LAPURAN VAKSIN DAN COVID-19 KKM MALAYSIA. 

Kajian lanjut keberkesanan dan keselamatan vaksin mRNA Covid 19 juga mengesahkan yang vaksin ini berkesan lebih dari 90% selepas sekurang2nya 5 bulan vaksin diberikan. Boleh baca kertas kajian di pautan bawah:
KAJIAN VAKSIN COVID-19 

Walaupun kajian di beberapa buah negara menunjukkan bahawa terdapat tanda AWAL menurunnya keberkesanan vaksin, namun ianya tidak melibatkan pencegahan gejala berat dan kematian. Satu perkara lagi adalah tentang jenis kajian yang dilakukan itu bukan RCT tetapi kajian pemerhatian (observational study) yang boleh dipertikaikan. Banyak faktor cofounding yang sepatutnya dikaji sebelum keputusan muktamat boleh dibuat. Lagipun banyak faktor yang mempengaruhi keberkesanan vaksin termasuk juga sistem ketahanan badan seseorang, jenis vaksin, faktor genetik, geografi dll. Jadi kita tidak boleh terburu2 bila menilai hasil kajian negara lain.

Kita perlu ingat bahawa setakat ini belum ada kaedah ataupun kayu ukur yang tepat/standard untuk menentukan keberkesanan vaksin berdasarkan kepada UJIAN DARAH. Walaupun ada penurunan kandungan "neuralizing antibodies", namun ahli sains belum dapat memastikan apakah nilai ambang antibodi yang tepat untuk mengatakan samada vaksin itu berkesan ataupun tidak. 

Tindakan sistem imun kita sangat kompleks. Tambahan pula keberkesanan vaksin bukan sahaja bergantung kepada penghasilan antibodi, tetapi juga kepada satu lagi sistem yang sama penting dikenali sebagai "Cell mediated immunity" (CMI) yang melibatkan sel T. CMI mberi perlindungan yang lebih panjang. Tambahan pula kita mengukur antibodi dan bukan sel B yang menghasilkan antibodi. Sebahagian pakar imunologi percaya walaupun kandungan antibodi menurun, apabila terdedah kepada jangkitan, sel B memori masih mampu teransang dan menghasilkan antibodi pada tahap yang mencukupi. Dalam konteks jangkitan Covid-19, aspek ini tidak diukur jadi kesimpulan yang dibuat terhadap kekuatan sistem imun itu boleh dipertikaikan. Sebab itu pihak FDA masih berhati2 untuk meluluskan suntikan tambahan kepada semua orang.

Manalah tahu, mungkin rakyat Malaysia mempunyai sistem pertahanan yang lebih  baik dari penduduk negara lain. Setakat ini, data2 yang dibentangkan oleh KKM jelas mengesahkan keberkesanan vaksin ke atas rakyat Malaysia terutamanya di dalam mengurangkan gejala berat dan kematian akibat Covid-19. Malahan majoriti pesakit yang tidak bergejala dan gejala ringan pun dari kalangan yang TIDAK menerima vaksin.

Isu dos tambahan yang dilapurkan di luar negara adalah sebagai persediaan masa depan kerana berdasarkan kepada ciri2 yang ada pada virus Covid-19 yang boleh bermutasi dan menghasilkan varian yang lebih kuat. Perkara ini sudah dijangka dan keperluan kepada dos tambahan itu memang tidak dapat ditolak. Jika hendak dilaksanakan, mungkin didahulukan golongan yang mempunyai sistem pertahanan yang lemah seperti golongan yang berusia lebih 60 tahun, pesakit yang mengambil ubat2 yang menurunkan kekebalan tubuh badan, lain2 kategori individu yang mempunyai sistem pertahanan yang rendah dan frontliners.

Kepada orang awam, bertenang dan tidak tertekan dengan isu2 yang belum pasti atau separuh masak. WHO sendiri mempunyai pendirian yang sama (baca di pautan bawah). 

Tumpuan utama masa ini adalah untuk memastikan liputan vaksin dapat ditingkatkan yakni akses vaksin kepada orang ramai dapat diperluaskan termasuk golongan remaja di bawah 18 tahun dan imuniti berkelompok dapat dicapai secepat mungkin. 

Jika nanti kita diarahkan untuk mengambil dos tambahan, ambil sahaja, tidak ada masalah. Yang penting langkah2 pencegahan yang lain tidak ditinggalkan.

Kepada yang belum menerima vaksin pula, jangan risau dengan berita dos tambahan ini kerana jikapun anda termasuk dalam kategori yang memerlukan, masanya masih panjang, mungkin 6-9 bulan selepas dos kedua. Dapatkan dahulu 2 suntikan dos vaksin anda untuk perlindungan yang mencukupi. 

Keputusan untuk memberi dos tambahan sepatutnya dilihat sebagai petanda vaksin itu berkesan dan selamat. Mengapa saya kata begitu? Jika vaksin tidak berkesan, mengapa perlu dos tambahan, lebih baik dihentikan. Kalau tidak selamat, mengapa diteruskan pemberian vaksin. 

Sesiapa yang sudah menerima vaksin, bersyukurlah kerana masih ramai rakyat di negara ini dan di negara2 luar yang belum menerima vaksin. Malahan ada negara yang tidak cukup vaksin dan rakyatnya tidak mendapat akses vaksin seperti kita. Jadi kepada yang belum ambil vaksin, jangan fikir panjang dan jangan lepaskan peluang keemasan ini.

Dato' Dr Rushdan Noor

27hb Ogos 2021


Kenyataan WHO tentang dos tambahan (booster dos):

https://www.who.int/news/item/10-08-2021-interim-statement-on-covid-19-vaccine-booster-doses?fbclid=IwAR1bhj6T7e-fDEXXqfwRQOOxBGAWwKbj_Gh3wKnPXOUaB4RV-wy0PjgiA8Q


Ini adalah pendapat peribadi dan tidak mewakili mana2 institusi.

Saturday, 21 August 2021

VAKSIN COVID-19 : BENARKAH KITA DIJADIKAN BAHAN UJIKAJI ?

Untuk mendapatkan kelulusan penuh FDA, sesuatu ubat ataupun vaksin itu perlu melengkapkan kajian fasa 3 dan membuat permohonan kepada FDA. Proses permohonan adalah sangat ketat dan memandangkan FDA perlu menjaga kredibiliti dan melayan banyak permohonan, tempoh paling awal sesuatu ubat untuk mendapat kelulusan lengkap FDA adalah 10 bulan dari tarikh permohonan dengan purata masa 12 bulan. 

Syarikat yang memohon perlu menghantar dokumen2 lengkap mengenai proses pengilangan, bukti2 kajian klinikal, keberkesanan, keselamatan dan lain-lain. Dikatakan satu permohonan sahaja kadangkala melibatkan beribu2 helai dokumen yang perlu diteliti oleh pihak FDA. Pandemik Covid-19 ini turut memberi impak kepada proses ini. 

Vaksin Covid-19 yang diberikan kepada kita sudah selesai menjalani kajian klinikal dari pra-klinikal, fasa 1, 2 dan 3. Malahan hasil-hasil kajian mereka sudahpun disiarkan di dalam jurnal antarabangsa. Kajian yang telah dilakukan itu pula sangat berkualiti dengan bilangan sampel puluhan ribu orang. Kajian tersebut telah dinilai oleh pakar2 dan mereka sepakat bahawa hasil kajian fasa 3 itu menunjukkan bahawa vaksin ini berkesan dan selamat.

Seperti yang dinyatakan di atas kajian klinikal fasa 3 vaksin mRNA telah lengkap dan disiarkan di dalam jurnal antarabangsa. Hasil kajiannya telah menunjukkan bahawa vaksin ini sangat berkesan dan selamat di sepanjang tempoh kajian. Tetapi memandangkan ketika itu pandemik Covid-19 mengganas di seluruh dunia, EUA ataupun Emergency Use Authorization telah diberikan oleh FDA kepada vaksin berkenaan. 

EUA bukanlah perkara baru tetapi adalah kelonggaran dalam bentuk kelulusan awal yang diberikan oleh FDA terhadap sesuatu ubat apabila berlaku darurat kesihatan di mana tidak ada pilihan ubat lain. Vaksin Covid-19 termasuk di dalam kategori produk yang layak untuk memohon EUA daripada FDA. Syarikat pengeluar vaksin berkenaan telah membuat permohonan kepada FDA.

Meluluskan EUA untuk sesuatu ubat atau vaksin bukan satu perkara yang remah dan mudah kerana ia perlu mematuhi kriteria2 tertentu yang ketat. Di antara kriterianya adalah ubat ataupun vaksin tersebut sudah melakukan fasa 3 kajian klinikal dan sudah membuat pemantauan susulan selama sekurang2nya 2 bulan selepas kajian fasa 3. Pihak syarikat farmaseutikal perlu membuat permohonan dan menyediakan dokumen2 seperti mana untuk kelulusan penuh. 

Untuk meluluskan EUA ini FDA akan melantik jawatankuasa penasihat dari luar yang merupakan pakar2 perubatan, pakar epidemiologi, pakar kesihatan awam dan lain2  yang berwibawa yang tidak ada "conflict of interest". Jawatankuasa penasihat inilah yang akan meneliti dokumen2 yang diserahkan oleh syarikat untuk membuat keputusan samada ianya boleh diluluskan berdasarkan kepada bukti kajian dan pertimbangan manfaat-mudarat. Vaksin mRNA Pfizer, Moderna dan Johnson & Johnson telah mendapat kelulusan EUA FDA. Vaksin2 ini akan terus dipantau sebagaimana vaksin2 yang telah mendapat kelulusan penuh. Syarikat2 yang mengeluarkan vaksin juga telah menghantar permohonan untuk kelulusan penuh FDA dan dijangka akan diperolehi tidak lama lagi.

Di samping FDA, WHO dan EMA juga merupakan badan yang memberikan kelulusan kecemasan yang sama untuk dimasukkan ke dalam Emergency Use Listing (EUL). Proses memberi kelulusan kecemasan ini lebih kurang sama dengan FDA dan setakat ini vaksin2 Covid-19 yang termasuk di dalam senarai EUL WHO adalah Pfizer/BioNTech, Moderna,  AstraZeneca, Johnson & Johnson, Sinovac, Sinopharm,  dan lain-lain. EMA pula meluluskan Pfizer, Moderna, AstraZeneca dan J&J.

Daripada penerangan di atas, tidak wujud andaian bahawa penerima vaksin pada hari ini adalah bahan ujikaji kerana kajian klinikal fasa 3 vaksin tersebut sudah dilakukan. Bukti keberkesanan dan keselamatan juga sudah diperakui. 

Kalau saya hendak membuat analogi mudah untuk difahami oleh orang ramai, keadaan ini lebih kurang umpama siswazah yang sudah lulus ujian akhir pengajian tetapi belum mendapat ijazah kerana selepas lulus, ianya perlu melalui senat dan pengesahan dari pihak pentadbiran akademik universiti. Pihak universiti perlu meneliti dokumen2 sokongan sebelum mengesahkan bahawa siswazah ini sudah menamatkan pengajian dan layak menerima ijazah. Kelulusan penuh FDA ini umpama hari graduasi dan penerimaan ijazah yang sudah ditandatangani oleh naib cancelor. 

Jika ada yang menuduh penerima vaksin hari ini adalah bahan ujikaji, kita boleh juga katakan kepada mereka yang orang yang tidak mahu mengambil vaksin seperti mereka juga adalah bahan ujikaji tetapi dalam kumpulan control. Dari data2 yang kita kumpulkan setakat ini jelas menunjukkan kumpulan control inilah yang menjadi golongan majoriti mengisi wad, ICU dan  menyumbang kpd lebih 99% angka kematian. Jadi jika mereka mahu terus kekal sebagai kumpulan control, biarkan mereka tapi kita akan terus sebagai kumpulan yang mengambil vaksin Covid-19.

Tuduhan yang tidak berasas mengatakan penerima vaksin seperti bahan ujikaji atau tikus makmal datangnya dari pihak yang keliru dan tidak bertanggungjawab yang cuba menakut2kan orang ramai dari mengambil vaksin.





Berita terbaru 23hb Ogos 2021. FDA telah memberi kelulusan penuh kepada Vaksin Pfizer-Biontech (Corminaty) pada 23hb Ogos 2021. Vaksin ini menjadi vaksin Covid-19 yang pertama diluluskan sepenuhnya oleh FDA.

Klik di sini


Dato' Dr.Rushdan Noor

22hb Ogos 2021


Semua vaksin Covid-19 dalam kotak biru sudah selesai kajian klinikal fasa 3.



Rujukan


https://www.statnews.com/2021/07/12/experts-warn-full-covid-19-vaccine-approval-is-no-quick-fix-for-hesitancy/

https://www.forbes.com/sites/leahrosenbaum/2021/07/30/why-hasnt-the-fda-fully-approved-any-covid-19-vaccines-yet/?sh=326875c8646d

https://www.fda.gov/news-events/press-announcements/coronavirus-covid-19-update-fda-authorizes-pfizer-biontech-covid-19-vaccine-emergency-use

https://www.nytimes.com/2021/08/03/us/politics/pfizer-vaccine-approval.html

https://www.sciencemag.org/news/2021/07/when-will-covid-19-vaccines-be-fully-approved-and-does-it-matter-if-they-are

https://www.fda.gov/vaccines-blood-biologics/vaccines/emergency-use-authorization-vaccines-explained

Tuesday, 3 August 2021

BAGAIMANA MENENTUKAN KEBERKESANAN SESUATU UBAT DARI PERSPEKTIF PERUBATAN MODEN


WA : Saya tak peduli , nak ambil juga IVM sebab ada pesakit yang ambil IVM, dia kata dia sembuh.

DR : Itu kita panggil testimoni Encik. Testimoni ini cuma pengalaman diri sendiri dan ia tidak diterima sebagai bukti yg kukuh. Kebanyakan pesakit Covid boleh sembuh dengan sendiri tanpa ambil apa2 ubat.


WA : Tapi ramai yang kata macam tu.

DR: Encik tahu dak berapa ramai yang ambil tapi tak berkesan atau penyakit bertambah teruk ? 


WA : Itu saya tak tahu sebab yang saya dengar semuanya bagus.

DR : Ya, itulah sebenarnya kedudukan testimoni, hanya yang bagus sahaja diwar2kan. Yang tak bagus dan semakin teruk org akan senyap sebab takut nanti org mengata dan malu. Lagipun ubat tu belum diluluskan. 

Satu lagi, disebabkan pesakit boleh sembuh sendiri terutama penyakit yang ringan, ada kemungkinan orang yang ambil IVM ini, kalau dia tak ambil IVM pun penyakit tu akan sembuh juga. Jadi sembuh itu berlaku secara kebetulan dan tidak ada kena mengena dengan IVM. Kalau dia ambil air kosong pun " berkesan".


WA : Jadi , macam mana nak tahu ubat itu betul2 berkesan?

DR: Di sinilah pentingnya melakukan kajian klinikal di mana dua kumpulan peserta akan dipilih secara rawak , satu kumpulan diberi ubat dan satu lagi diberikan plasebo, kemudian pengkaji akan bandingkan keputusan kedua2 kumpulan itu. Semua peserta tidak tahu apakah yang diberikan kepada mereka samada ubat ataupun plasebo kerana kedua2nya nampak sama. Kalau ubat itu betul2 berkesan tentu peserta2 yg ambil ubat mempunyai kadar sembuh yg lebih tinggi dari peserta yg ambil plasebo. 


WA : Plasebo tu apa?

DR: Plasebo adalah satu bahan yg nampak sama macam ubat yg dikaji tapi tidak mengandungi bahan aktif, selalunya hanya gula. Jadi kalau hasil kajian mendapati tidak ada perbezaan di antara kedua2 kumpulan, maka kesimpulanya ubat itu tak berkesan yakni sama macam tak makan ubat. Ada juga kajian yg mendapati ambil ubat itu lebih teruk kesannya dari plasebo, jadi ubat ini merbahaya.


WA : I see, baru faham sikit. Tapi kalau tak silap saya ramai juga doktor yg sokong IVM dan cakap ada byk kajian yang menyokong IVM.

DR: Kajian2 klinikal yg dilakukan tak semuanya berkualiti. Ada kajian yang nampak hebat tapi apabila dibuat penilaian terperinci didapati byk kelemahan dan penyelewengan data. 


WA: Begitu rupanya. Jadi penyelidik pun ada yang menipu dan ada kepentingan ?

DR: Tentu, mereka juga manusia.


WA: Tapi doktor, ada doktor sendiri yang kata dia berjaya merawat pesakit Covid dengan ubat IVM dan sembuh. Macam mana tu?

DR: Itu juga boleh dikategorikan sebagai testimoni ataupun case reports. Tahap kewibawaannya lebih kurang sama sahaja dengan testimoni pesakit, cuma kali ini testimoni doktor. Boleh jadi pesakit yang dirawat oleh beliau akan sembuh walaupun tidak mengambil apa2 ubat. Satu lagi, boleh jadi dia hanya memilih pesakit2 yang ringan ataupun yg memang akan sembuh. Ataupun bilangan pesakit tidak ramai dan maksud sembuh itu berbeza. Ada juga yang ada kepentingan ke atas ubat dan reputasi dirinya sendiri.Jadi dakwaan seperti ini terdedah kepada isu bias dan ada "conflict of interest".  Doktor yg beretika tidak akan menerima bukti yang bersandarkan pengalaman seperti ini.


WA : Faham, so kalau kita percaya dakwaan macam ni tak ada bezanya dengan dakwaan oleh bomoh yang kata sudah berjaya merawat beratus2 org pesakit. 

DR : Ya betul. Satu isu lagi adalah bagaimana penyakit itu disahkan. Kadang2 orang yg dirawat itu sebenarnya tidak sakit pun tapi dianggap pesakit, mungkin kaedah pengesahan yg tidak tepat ataupun perawat menggunakan kaedah lain. 


WA: Dan gejala yang pesakit tu alami boleh sembuh dengan sendiri. 

DR: Betul, maka sekali lagi perawat salah tafsir mengatakan ubat yg diberikan itulah yg sembuhkan pesakit.


WA: Sekarang saya faham sedikit sebanyak tentang bagaimana menentukan keberkesanan sesuatu ubat. Terima kasih banyak2 doktor.

DR : Sama2


Dato" Dr.Rushdan Noor

29hb Julai 2021

BOLEH KE REBUSAN AIR KETAM RAWAT COVID-19



PiPi IM : Doktor, jiran saya dapat Covid-19, kategori 2, kuarantin di rumah. Dia minum rebusan air ketam. Sekarang dia dah sembuh. Betul ke rebusan air ketam boleh rawat Covid-19 ?

DR : Dakwaan macam ini kita panggil testimoni. Testimoni tak boleh dijadikan bukti keberkesanan. Covid-19 boleh pulih dengan sendiri tanpa rawatan. Kita tidak tahu samada jiran awak tu sembuh sebab minum air ketam ataupun kalau dia tak minum pun, Covid-19 boleh sembuh juga. Penat saya bercakap pasai tajuk ni.

PiPi IM : I see. Tapi kawan saya seorang tu kena Covid kategori 4, dia pun cakap macam tu, dia sembuh sebab minum air ketam.

DR: Dia masuk wad ke ?

PiPi IM : Ya, dia masuk ICU

DR: Kalau dia masuk ICU, masa bila yang dia minum air ketam ?

PiPi IM: Masa dia bersiap2 nak masuk wad, mak dia sempat rebus air ketam dan bagi minum. 

DR: I see. Jadi bila masuk ICU dia dirawat oleh pakar2 la? Tentu dia diberi macam2 jenis ubat untuk merawat penyakit Covid di ICU.

PiPi IM : Ya doktor. 

DR : Kalau macam tu, macam mana dia tahu air ketam yang berkesan dan bukan ubat2 yang diberikan oleh doktor dalam ICU?

PiPi IM : Ya tak ya juga doktor, bodohnya saya sebab tak terfikir macam tu. Tapi kalau nak mencuba tak apa kot doktor.

DR : Boleh saja, awak nak telan apa2 pun boleh selagi selamat. Tapi nak sediakan air rebusan ketam tu bukan senang. Harga ketam pun mahal, nanti ketam pun boleh pupus. Lebih baik awak cuba rebusan air rumput. Senang, boleh dapat tepi jalan.

PiPi IM : Apa doktor, saya tak dengar.

DR: Tak ada apa-apa. Boleh saja nak cuba apa2 yg awak rasa berkesan dan selamat. Apa yang penting bila sakit jumpa doktor, jangan rawat sendiri. Doktor sudah terlatih, sedangkan yang memandai2 ini, asas ilmu sains pun tak ada.

PiPi IM : Ya ya setuju doktor, saya sendiri pun tak ada langsung ilmu sains. Tapi saya minat dengan satu cabang sains, depa panggil pseudosains. Sains juga kan doktor.

DR : Patutlah.

PiPi IM : Terima kasih doktor

DR : Sama-sama


Cerita di atas tidak ada kena mengena dengan sesiapa atau mana2 institusi, samada yg masih hidup ataupun yang sudah mati.


Dato' Dr.Rushdan Noor

2 hb Ogos 2021